Tuesday, May 18, 2010

Bijak Tatabahasa dari En. Ghalib

Mengenal Kata, Frasa, Klausa dan Ayat
Latihan 1
Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

1. Mereka berbicara tentang bioteknologi. [ ]
2. Kami telah menyaksikan perlawanan yang hebat pada malam itu. [ ]
3. Guru menghadiahi kami sebuah buku cerita. [ ]
4. Kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat. [ ]
5. Hadiah ini disediakan untuk ibuku yang tersayang. [ ]
6. Dia bimbang akan keadaan ibunya yang masih belum sedar. [ ]

Latihan 2
Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada
kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, atau kata kerja pasif.

1. Baju itu masih belum berjahit lagi. [ ]
2. Dia suka bergurau. [ ]
3. Dia keletihan setelah penat bekerja. [ ]
4. Mereka suka membaca buku. [ ]
5. Dia teringat akan isterinya di hospital. [ ]
6. Hazami teringat oleh ibunya di kampung. [ ]

Latihan 3
Nyatakan jenis kata hubung bagi perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata hubung gabungan, kata hubung relatif, kata hubung komplemen atau kata hubung keterangan.

1. Dia menyatakan bahawa dia tidak bersalah. [ ]
2. Salasiah tidak hadir kerana kerana dia sakit. [ ]
3. Kereta yang berwarna merah itu melanggar kereta yang melanggar kerbau itu. [ ]
4. Untuk mengatasi masalah itu amatlah sukar. [ ]
5. Dia akan berusaha hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. [ ]
6. Sejak memenangi pertandingan itu, dia giat menulis. [ ]

Latihan 4
Nyatakan jenis kata bagi setiap perkataan dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata adjektif, kata kerja atau kata tugas.

1.Perigi itu sangat dalam. [ ]
2.Dalam hal ini, saya tidak mahu bertanggungjawab. [ ]
3. Dia masih berada di dalam bilik kuliah. [ ]
4.Hadiah ini untuk ibuku yang tersayang. [ ]
5.Adalah sukar untuk mengatasi masalah itu. [ ]
6.Pihak sekolah sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi pelajar. [ ]
7.Kakak memotong kek dengan menggunakan pisau plastik. [ ]
8.Setiap hari saya belajar dengan kawan saya di perpustakaan. [ ]



Latihan 5
Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif.

1. Kanak-kanak itu menangis kerana terlalu lapar. [ ]
2. Ibu sedang menggulai ikan di dapur. [ ]
3. Tumpahan kapur itu menyebabkan air sungai itu memutih. [ ]
4. Dia sedang mengarang pantun. [ ]
5. Kapal terbang itu telah selamat mendarat di lapangan terbang Tawau. [ ]
6. Mereka mempelawa kami untuk menyertai syarikatnya. [ ]
8. Jalan itu menjadi lurus setelah dibaiki oleh pihak JKR. [ ]
9. Negara kita sedang membangun dengan paesat. [ ]
10. Beliau akan melawat ke Terengganu pada minggu hadapan. [ ]

Latihan 6
Nyatakan jenis frasa yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada Frasa Nama, Frasa Kerja, atau Frasa Sendi Nama.

1. Mereka berkelah di tepi sungai. [ ]
2. Pemuda itu kehujanan ketika pulang dari pejabat. [ ]
3. Saya ke Hotel Nikko pada petang esok. [ ]
4. Ibu saya akan pergi ke Mekah pada tahun ini. [ ]
5. Jika mereka ada, saya pun ada. [ ]
6. Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Karya Kencana 2004. [ ]

Mengenal Klausa
Latihan 7:Nyatakan bahagian yang bergaris di bawah ini sama ada klausa bebas atau klausa tak bebas.
1. Dia tidak hadir kerana bapanya sakit tenat. [ ]
2. Jika saya belajar dengan bersungguh-sungguh, saya akan berjaya. [ ]
3. Saya berdoa semoga bapanya cepat sembuh. [ ]
4. Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Karya Kencana 2004. [ ]
5. Sejak memenangi pertandingan itu, dia giat menulis. [ ]

Mengenal Subjek dan Predikat
Latihan 8:Nyatakan bahagian subjek dan predikat dalam setiap ayat di bawah ini:
1. Buku yang berwarna biru itu buku matematik.
2. Telah ditempah oleh ibu baju raya.
3. Ke Kuala Lumpur mereka pagi tadi.
4. Saya tendang bola itu ke tengah padang.
5. Jika saya berjaya, saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang komputer.
6. Perkara ini terjadi kerana sikap ambil mudah para pegawai syarikat itu.
7. Banyak pelajar yang ponteng sekolah pada saat-saat begini.
8. Ada segelintir ibu bapa yang kurang mengambil berat akan hal anak-anak mereka yang terlibat dalam gejala social






Mengenal Jenis Ayat
Latihan 9:Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat Tanya, ayat perintah atau ayat seruan.
1. Orang yang baru sampai itu tadi siapa?[ ]
2. Pengetua sekolah saya ialah Pn. Hajah Zawiah bt. Hj. Yahya. [ ]
3. “Amboi, lawanya baju cikgu,” kata murid itu kepada Cikgu Zamilah. [ ]
4. “Sila ambil buku awak di atas meja saya,” kata Cikgu Roslan kepada Amir. [ ]
5. Dilarang merokok di kawasan ini. [ ]
6. “Bagaimanakah keadaan ibu awak di hospital?” Tanya Pn. Wong kepada Kumar. [ ]

Mengenal Ragam Ayat
Latihan 10:Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat aktif atau ayat pasif.
1. Pintu itu sudah terbuka sejak pagi tadi. [ ]
2. Meraka masih teringat akan peristiwa itu. [ ]
3. Semenjak program kitar semula dilancarkan oleh kerajaan, kita dapat mengurangkan masalah tempat pelupusan sampah. [ ]
4. Pelajar yang dibuang sekolah itu menghantar surat rayuan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah. [ ]
5. Dia keletihan setelah mengemas rumah dari pagi hingga petang. [ ]
6. Mereka akan membincangkan masalah itu dalam mesyuarat pada petang ini. [ ]

Mengenal Binaan Ayat
Latihan 11:Nayatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat dasar, ayat tunggal atau ayat majmuk.
1. Mereka membaca buku di bawah pokok itu. [ ]
2. Siapakah pemuda itu? [ ]
3. Mereka sedang tidur. [ ]
4. Mereka berjaya memenangi pertandingan itu. [ ]
5. Pegawai itu berbicara mengenai seminar itu. [ ]
6. Beliau penceramah yang hebat. [ ]

Latihan 12:Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen, ayat majmuk pancangan keterangan atau ayat majmuk campuran.

1. Dia menyatakan bahawa dia tidak bersalah. [ ]
2. Salasiah tidak hadir kerana kerana dia sakit. [ ]
3. Untuk mengatasi masalah itu amatlah sukar. [ ]
4. Saya dan pegawai itu terlibat dalam seminar yang akan berlangsung esok. [ ]
5. Kami dikehendaki membentangkan kertas kerja dalam seminar itu. [ ]
6. Beliau penceramah yang hebat. [ ]

Latihan 13:Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul atau salah.

1. Memancing ialah hobi saya pada waktu lapang. [ ]
2. Mengumumkan ketibaan Y.A.B Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. [ ]
3. Diberhentikan pegawai itu dengan serta merta. [ ]
4. Mereka di bawah pokok yang rendang itu. [ ]
5. Dengan kehadiran mereka akan menaikkan semangat semua pemain. [ ]
6. Di Pandan Indah mengalami masalah kekurangan bekalan air. [ ]
OBJEK BERGERAK DAN OBJEK TIDAK BERGERAK
Apitan men-…-kan, apitan men-…-I, dan awalan men-…
Rumus: apitan men-…-kan --objek bergerak
Apitan men-..-I - objek tidak bergerak
Awalan men-…. - objek tidak bergerak

Latihan 1
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul atau salah.

1. Ali menaiki bendera ketika lagu kebangsaan dinyanyikan.[ ]
2. Ali menaikkan bendera ketika lagu negara dinyanyikan. .[ ]
3. Penternak itu melepasi lembunya di kawasan padang rumput itu. .[ ]
4. Lembu-lembu di padang itu telah melepaskan pagar berduri di tepi padang itu. .[ ]
5. Perdana Menteri menaburi bunga rampai kepada pasangan pengantin itu. .[ ]
6. Perdana Menteri menaburi pasangan pengantin itu dengan bunga rampai . .[ ]
7. Tukang kebun menyirami air kepada pokok-pokok bunga itu. .[ ]
8. Tukang kebun menyiram pokok-pokok bunga itu dengan air. .[ ]
9. Budak-budak nakal itu melontarkan lembu yang sedang berkeliaran dengan batu. .[ ]
10.Budak-budak nakal itu melontar batu ke arah lembu yang sedang berkeliaran. .[ ]
11. Mereka mengumpul buku-buku yang berselerak itu ke dalam bakul. .[ ]
12. Posmen mengisikan karungnya dengan surat-surat berdaftar. .[ ]
13. Posmen mengisi surat-surat berdaftar ke dalam karungnya. .[ ]
14. Doktor menyuntik ubat bius kepada pesakit itu. .[ ]
15. Doktor menyuntik pesakit itu dengan ubat bius. .[ ]
16. Pihak sekolah mengirimi surat kepada ibu bapa. .[ ]
17. Pihak sekolah mengirimkan ibu bapa surat. .[ ]
18. Pemain pasukan Arsenal di buang padang kerana menjatuhkan pemain pasukan lawan. .[ ]
19. Hakim menjatuhkan pesalah itu hukuman mati. .[ ]
20. Banjir besar menenggelamkan kawasan itu. .[ ]
21. Tentera marin Amerika telah menggelami kapal perang Rusia. .[ ]
22. Pak Samad memberi anaknya kepada Pak Abu kerana dia tidak mampu untuk memeliharanya. .[ ]
23. Pak Ali telah mengandangi lembu-lembunya pada petang tadi. .[ ]
24. Mereka akan memenjara pesalah itu sebaik-baik sahaja pihak hakim menjatuhkan hukuman. .[ ]
25. Mereka menguburkan mayat-mayat mangsa Tsunami itu ke dalam satu liang lahad.[ ]













Apitan men-…-kan, apitan men-…-I, dan awalan men-…
Rumus: apitan men-…-kan --objek bergerak
Apitan men-..-I - objek tidak bergerak
Awalan men-…. - objek tidak bergerak

Latihan 3
a. Bina ayat dengan perkataan yang berikut bagi menunjukkan perbezaan maksudnya.

(i) melontar – melontarkan
(ii) menabur – menaburkan
(iii) mengisi – mengisikan

b. Bina ayat dengan perkataan yang berikut bagi menunjukkan perbezaan maksudnya.
(i) melontar – melontari
(ii) menabur-menaburi
(iii) memagar - memagari




Apitan di-…-kan, apitan di-…-I, dan awalan di-…
Rumus: apitan di-…-kan --subjek bergerak
Apitan di-..-I - subjek tidak bergerak
Awalan di-…. - subjek tidak bergerak

Latihan 4

a. Bina ayat dengan perkataan yang berikut bagi menunjukkan perbezaan maksudnya.
(i) disiram – disiramkan
(ii) dipagar - dipagarkan
(iii) disuntik - disuntikkan

b. Bina ayat dengan perkataan yang berikut bagi menunjukkan perbezaan maksudnya.
(i) lalu – dilalui
(ii) hormat- dihormati
(iii) sayang - disayangi














OBJEK BERNYAWA DAN OBJEK TIDAK BERNYAWA
Latihan 1
Bina ayat dengan pasangan perkataan yang berikut:
1. (a) Abang melukiskan adik gambar kartun.
(b) Abang melukis gambar kartun untuk adik.

2. (a) Ibu membacakan adik buku cerita.
(b) Ibu membaca _____________________________

3 (a) Kakak membuatkan ayah secawan kopi.
(b) Kakak membuat ____________________________

4 (a) Azizul menuliskan nenek surat.
(b) Azizul menulis ______________________________

5. (a) Zarina menjahitkan Fitri sehelai baju.
(b) Zarina menjahit _____________________________
Latihan 2
Tukarkan ayat dalam latihan 1 kepada ayat pasif.
1(a) Adik dilukiskan gambar kartun oleh abang.
(b) ___________________________________

2(a) Adik dibacakan oleh ibu buku cerita.
(b) ___________________________________

3(a) Ayah dibuatkan oleh kakak secawan kopi.
(b) ___________________________________

4(a) Nenek dituliskan oleh Azizul surat.
(b) ___________________________________

5(a) Fitri dijahitkan oleh Zarina sehelai baju.
(b) _____________________________________
Latihan 3
Tukarkan ayat aktif di bawah ini kepada ayat pasif.
1. Saya menjahitkan ayah sehelai baju. _______________________________________
2. Saya menjahit sehelai baju untuk ayah. _____________________________________
3. Awak membacakan adik buku cerita. _______________________________________
4. Awak membaca buku cerita untuk adik. _____________________________________
5. Kami membuatkan mereka kopi panas. _____________________________________
6. Kami membuat kopi panas untuk mereka. ___________________________________
7. Engkau membelikan ayah sate. ____________________________________________
8. Engkau membeli sate untuk ayah. __________________________________________
9. Kamu mengambilkan dia makanan. _________________________________________
10. Kamu mengambil makanan untuk dia. _____________________________________






1. TEKNIK TRANSFORMASI

Praktis 1
Tulis ayat dengan menggunakan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) anugerahi
(ii) kirimi
(iii) hadiahi
(iv) nasihati
(v) hutangi
(iv) jatuhi


Praktis 2
Tulis ayat dengan menggunakan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) dianugerahi
(ii) dikirimi
(iii) dihadiahi
(iv) dinasihati
(v) dihutangi
(iv) dijatuhi


Praktis 3
Tulis ayat dengan menggunakan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) menganugerahi
(ii) mengirimi
(iii) menghadiahi
(iv) menasihati
(v) menghutangi
(iv) menjatuhi

Praktis 4
Tulis ayat dengan menggunakan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) gerakan
(ii) gerakkan
(iii) masakan
(iv) masakkan
(v) galakan
(iv) galakkan


Penggunaan Rumus Tatabahasa
1. FKT--- KKT -- KN
Contoh: menendang bola itu (_/)
…menyatakan perkara itu (/)
…menyatakan tentang perkara itu (x)
…meningkatkan lagi pencapaian (x)
…memahami akan perkara itu (x)
…menulis semula karangan itu. (x)
…melaporkan dari London (x)
2. Hukum D-M
…Pak Kasim Restoran (x)
…Restoran Pak Kasim (/)
3. FKTT---ber-…-kan -KN
Berdasarkan perkara itu (/)
Berdasarkan kepada perkara itu (x)
Berdasarkan pada perkara itu (x)
Berdasar kepada perkara itu (x)- sasaran
Berdasar pada perkara itu (/)—sandaran
Bergantung kepada (x)-sasaran
Bergantung pada (/)-sandaran

4. penjodoh bilangan --- sebuah—diikuti oleh kata konkrit
… sebuah rumah.. (/)
… sebuah impian (x)
….sebuah cita-cita (x)
…sebuah kenangan (x)
…sebuah harapan (x)
5. Frasa Sendi Nama berpasangan
… dari masa ke masa (/)
…dari semasa ke semasa (/)
… dari masa ke semasa (x)
….daripada masa kepada masa (x)
…dari semasa ke masa (x)
…daripada semasa kepada masa (x)
6. Frasa Adjektif
… amat pandai sekali (/)
….sangat pandai sekali (/)
….sungguh pandai sekali (/)
…paling pandai sekali (x)
…terpandai sekali (x)
7. Hukum Aneksi Persona
…telah saya jawab..(/)
…saya telah jawab ..(x)
…mereka telah jawab (x)
…telah mereka jawab (x)
…telah dijawab oleh mereka (/)
…telah dijawab mereka (/) 8. Frasa Kerja Pasif Diri Pertama
…. Saya baca..(/)
…dibaca oleh saya (x)
…terbaca oleh saya (/)
9. Frasa Kerja Pasif Diri Ketiga
…dinaiki oleh mereka (/)
…mereka naiki ..(x)
10. me---i/me—kan
.. menghadiahi ibu sehelai kain batik.(/)
..menghadiahkan ibu sehelai kain batik (x)
…menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu.(/)
..menghadiahi sehelai kain batik kepada ibu (x)
…ibu dihadiahi oleh … sehelai kain batik (/)
…sehelai kain batik dihadiahkan oleh .. kepada ibu. (/)
…membekali Najwa pisang goreng.(/)
…membekalkan pisang goreng kepada Najwa (/)
…membekalkan Najwa pisang goreng.(x)
…membekali pisang goreng kepada Najwa (x)
…Najwa dibekali oleh ibu pisang goreng (/)
.. pisang goreng dibekalkan oleh ibu kepada Najwa.(/)

11. me---- / me-…-kan
…membuat kopi untuk ayah.(/)
…membuatkan kopi untuk ayah (x)
…membuatkan ayah kopi.(/)
…membuat ayah kopi (x)
….Kopi dibuat oleh ibu untuk ayah (/)
…ayah dibuatkan oleh ibu kopi. (/)

12. Rumus Kata Bilangan
…setengah orang berpendapat ..(x)
…sesetengah orang berpendapat..(/)
…para-para hadirin…(x)
…para hadirin…(/)
…sebahagian harta (x)
…sebahagian daripada harta …(/)

13. Rumus Frasa Nama Jamak
…jamak- jamak …(x)
…jamak  tunggal (/)
…tunggal- jamak (/)
…banyak pepohon kelapa ..(x)
…banyak pohon kelapa (/)
..pepohon kelapa..(/)
…pelbagai cerita-cerita (x)
…pelbagai cerita (/)..
13. Frasa Nama Subjek
.. Lebih membimbangkan ..(x)
…Yang lebih membimbangkan..(/)
..Perkara yang lebih membimbangkan ialah (/)

14. Rumus Penggunaan Kata pemeri
…ialah ---KN
..ialah pihak kerajaan..
..ialah pengetua sekolah ini.

..adalah -Kata Adjetif/Kata sendi
..adalah sukar..
..adalah benar..
..adalah untuk..
Peringatan:
…adalah dimaklumkan (x)
…adalah merupakan ..(x)
…adalah bergantung …(x)
…adalah disebabkan…(x)

15.Frasa Kerja Tak Transitif (FKTT)
KKTT - KS
.. balik ke kampung (/)
…balik kampung (x)
….pergi ke sekolah (/)
…pergi sekolah (x)

16.Kelewahan bahasa
…jika anda (/)
…sekiranya anda (/)
…jika sekiranya anda (x)
…semua barang (/)
…semua barang-barang..(x)
…deretan rumah (/)
….deretan rumah-rumah (x)
…dipenuhi majalah (/)
… dipenuhi majalah-majalah (x)

17.Frasa Kerja Gabungan
…memajukan dan meningkatkan (/)
…memaju dan meningkatkan (x)

18.Rumus Kata sendi dari dan daripada
---KS dari - ATM
…KS daripada -- KABOS
…dari Eropah ..(/)
…daripada Eropah ..(x)
..daripada benang (/)
…dari benang …(x) 19.Kata kerja transitif
.. Ali menghias dinding rumah (/)
…Ali menghiasi dinding rumah (x)
..Ali menghiaskan bunga di dinding ..(/)
..Gambar bunga menghiasi dinding rumah (/)

..Pak Mat memagar kawasan rumahnya.(/)
..Pak Mat memagari kawasan rumahnya (x)

..Pak Mat memagarkan batang buluh di ..(/)
..Batang buluh memagari kawasan rumah (/)

20.memper--- dan memper---kan
..memperdalam …(/)
..memperbesar …(/)
..memperlekeh …(/)
..mempercantik..(/)
..mempertingkat (x)
..mempertingkatkan (/)
..mempersembahkan (/)

21.Kata ganda
--saling menolong (/)
--tolong-menolong (/)
--saling tolong-menolong (x)


22.Frasa sendi nama—
--oleh sebab (/)
--oleh kerana (x)
..selain daripada itu (x)
..selain itu.. (/)
..demi untuk negara (x)
.. demi negara (/)
..untuk negara (/)

23.Ayat susunan biasa dan songsang.
..Dia membaca buku di bawah pokok (/)
..Membaca buku dia di bawah pokok (/)

24.Rumus kata sendi nama dan frasa sendi nama
…antara pelajar …(/)
…di antara pelajar …(x)
…di antara Pulau Sumetera dengan Pantai Barat Semenanjung (/)
.. dalam bilik ..(x)..
.. di dalam bilik (/)..

UJIAN PENGUASAAN TATABAHASA
Arahan: Tandakan betul [ _/ ] atau salah [ x ] bagi setiap ayat yang dikemukakan di bawah ini.

1. Kecemerlangan akademik bukan menjamin kejayaan hidup.[ ].
2. Bapa Syed Mahmud menternak telur ayam di belakang rumahnya. [ ].
3. Banyak orang yang muflis kerana menggunakan kredit kad . [ ].
4. Antara maklumat-maklumat yang diperlukan termasuklah pengalaman bekerja. [ ] .
5. Membaca buku dia di bawah pokok yang rendang itu.[ ].
6. Penduduk kampung itu menyedari yang nasib mereka terancam.[ ].
7. Sebilangan besar daripada peminat-peminat Mawi terdiri daripada pelajar UiTM. [ ] .
8. Bendera-bendera yang berwarna-warni berkibaran di sepanjang jalan.[ ].
9. Guru menjelaskan bahawa peperiksaan itu akan berlangsung bulan hadapan [ ].
10. Penduduk kampung itu berpendapat bahawa projek itu membawa banyak manfaat. [ ]
11. Mereka berharap bahawa semua cadangan mereka itu akan disetujui.[ ]
12. Tindakan yang dilakukan oleh Hasmawi itu telah mengguris hati seluruh keluarganya.[ ]
13. Pemilihan itu adalah berdasarkan keputusan SMS yang dihantar oleh penonton.[ ] .
14. Mereka membeli juga barang-barang itu walaupun harganya mahal. [ ]
15. Tulislah jawapan anda dalam ruangan yang disediakan [ ]
16. Kita tuntut kemerdekaan negara daripada penjajah [ ]
17. Abang memberikan ayah wang [ ]
18. Ibu memasakkan ayah gulai ikan.[ ]
19. Aidil teringat oleh kekasihnya. [ ]
20. Ayah menghadiahkannya sebuah basikal.[ ]
21. Ayah membelikannya sebuah basikal.[ ]
22. Di antara gadis yang ditemuinya, tiada yang mulus setulus hatinya. [ ]
23. Hukuman merotan sepatutnya dilaksanakan untuk mengatasi masalah disiplin. [ ]
24. Buku yang tebal itu tidak terbaca oleh saya. [ ]
25. Anita saya kirimi sepucuk surat. [ ]
26. Dia gagal oleh sebab tidak mengulang kaji pelajaran.[ ]
27. Pihak polis telah mengumpul pelbagai maklumat untuk mengesan penculik bayi itu. [ ]
28. Ombak besar tsunami yang melanda Bandar Aceh dan kawasan Asia itu datang dari manakah? [ ]
29. Sumbangan itu akan kerajaan serahkan kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin. [ ]
30. Dereten rumah-rumah di kawasan pantai itu musnah. [ ]

Thursday, May 13, 2010



latihan tingkatan 4

Latihan
Perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadikan internet dan e-mel bukan sahaja boleh diakses melalui komputer, malahan dapat diakses melalui telefon bimbit dan televisyen. Hal ini meningkatkan nilai komersial internet dan e-mel dalam dunia perniagaan siber.
Bincangkan kesan-kesan penggunaan internet dan e-mel yang kian meluas digunakan dalam masyarakat kita.



Monday, May 10, 2010

TATABAHASA

CONTOH FRASA-FRASA MENARIK UNTUK PENULISAN

• Menggembleng tenaga - menjadi barah masyarakat
• Beriltizam (komited) - mengimbau kenangan
• Memacu / menjana kemajuan negara - di sungai cabaran
• Masalah semakin kritikal - tiba di muara pencipta
• Fenomena yang berlaku - gerimis menabur benih
• Di persada dunia - lemas dalam kesabaran
• Menyumbangkan dana - menghakis sopan santun
• Citra masyarakat (imej / jati diri ) - fitrah sang manusia
• Generasi pewaris bangsa - gelanggang kebuasan
• Anjakan paradigma - mutu memantulkan peribadi
• Lonjakan saujana - prasarana maklumat
• Proses globalisasi - bercirikan tempatan
• Dunia tanpa sempadan - menjadi nadi penggerak
• Memperkembang potensi diri - menjadi fokus perjuangan
• Berdaya saing - kemelut peperangan
• Berfungsi secara optimum - meluangkan masa senggang
• Kedengaran suara-suara sumbang - atlet tidak konsisten
• Memperkasa jati diri - lokasi yang strategik
• Menyelami jiwa dan cita rasa - mempopularkan konsep
• Lebih berketerampilan (cekap) - mencerna idea
• Penampilan diri yang positif - bibit-bibit perpecahan
• Cara berpakaian - menjadi petanda negatif
• Dicelikkan oleh fakta sejarah - generasi pasca merdeka
• Mengetepikan soal bangsa - memantapkan gelora politik
• Merealisasikan impian - diurus secara telus
• Menangani masalah - menawarkan aplikasi
• Berada dalam cengkaman - pertalian dapat dirungkai
• Pemangkin kecemerlangan - budaya hedonisme
• Menjadi polemik dalam masyarakat - konteks yang lebih luas
• Polarisasi kaum - bertopengkan hak asasi
• Tahap profesionalisme - peruntukan yang digariskan
• Menggoncang semangat - mengakses penemuan baru
• Inspirasi dicetuskan oleh
• Menentukan hala tuju
• Ditelan arus kehidupan
• Realiti alam kehidupan
• Interaksi sosial
• Terbelenggu dalam perasaan
• Digunakan secara semberono
• Terpahat nama negara
• Memperlekeh hasrat murni
• Dasar yang proaktif KAY 2008


TATABAHASA

GOLONGAN KATA
Nyatakan jenis kata di bawah ini:


1. ialah =______________________

2. Si Belang= __________________

3. boleh = ____________________

4. SMK Seksyen 3= _____________

5. daripada = ____________

6. Kuala Lumpur = _______________

7. bahawa = ______________

8. Peguam = _________________

9. lagi = ______________

10. Seladang= ______________

11. setengah= ________________

12. angin = ________________

13. sangat = ______________

14. danau = __________________

15. sesungguhnya = _________________

16. Kami = _________________

17. lajunya = _________________














18. anda = _________________

19. hatta = _________________

20. baginda = _________________

21. telah = _______________

22. bila = _________________

23. deras-deras= _____________

24. situ = _______________

25. beli = _______________

26. sini = ____________________

27. dihadiri= _____________________

28.apa-apa = ___________________

29. bernyanyi= ______________

30. suka = ________________


Terguris atau tergores?

Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan kata guris, terguris, atau mengguris. Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Perkataan yang tepat ialah gores, tergores atau menggores. Jika pengguna bahasa masih ragu-ragu, sila rujuki Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 482 . Dalam kamus tersebut, tiada perkataan guris disenaraikan sebagai entri. Kata yang disenaraikan ialah gores. Yang peliknya ialah pengguna bahasa lebih suka menggunakan kata yang salah daripada yang tepat dan betul. Mengapakah hal ini terjadi? Tepuk dada tanyalah selera. Sebagai pengguna bahasa, kita mestilah memprakrikkan penggunaan bahasa yang tepat dalan betul.

Kering kontang atau kering-kontang?

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kering-kontang dieja dengan dua cara, iaitu ada tanda sempang dan tiada tanda sempang. Dengan berdasarkan kata masukan kering, terdapat perkataan kering-kontang yang disenaraikan. Maksud perkataan ituialah tidak berair atau sudah tidak berair lagi. Jika kita melihat kata masukan kontang pula, makna yang diberikan ialah tidak berair atau kering. Dalam kata masukan ini, diberikan perkataan kering kontang (tanpa tanda sempang). Maksudnya ialah sedikit pun tidak berair atau kering sekali. Persoalan yang hendak saya timbulkan di sini ialah adakah kata kering-kontang atau kering kontang tersebut kata ganda atau rangkai kata? Prinsip untuk menentukan sesuatu perkataan itu kata ganda atau bukan ialah perkataan kedua tidak boleh berdiri sendiri atau tiada makna. Namun, perkataan kering dan kontang dalam kata ganda kering-kontang mempunyai makna yang tersendiri dan kedua-dua perkataan itu mempunyai kata masukan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu, apakah ejaan yang tepat bagi perkataan kering-kontang? Kering-kontang atau kering kontang?

Penggunaan Kata Ganti Nama `anda'

Jangan menggunakan kata ganti nama `anda' kepada seseorang yang kita kenali atau orang yang berada di hadapan kita. Kata ganti nama ini sesuai untuk khalayak umum atau pihak yang tidak kita ketahui. Biasanya, perkataan ini digunakan di televisyen, radio, iklan, pengumuman dan sebagainya.

Contoh:
Anda dari mana tadi? [ x ]
Kamu dari mana tadi [ / ]
Saudara dari mana tadi? [ / ]
Encik dari mana tadi? [ / ]
Ketika, semasa, masa

Ketika bermaksud masa (bukan semasa) atau waktu yang singkat.
Semasa bermaksud sama masa dengan atau pada ketika yang sama.
Semasa juga bermaksud sewaktu atau pada ketika.
Kesimpulannya, ketika dan semasa ada perbezaan makna atau tidak sama makna.
Contoh:
Saya telah ke luar negara ketika masih kecil.
Saya telah ke luar negara masa masih kecil.
Semasa ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.
Pada ketika ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.

Jawapan atau Jawaban?
Soalan:
Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak Tuan tentang hal ini.?

Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.

Partikel `Pun' dalam Bahasa Melayu
Terdapat 13 perkataan yang dieja bercantum dengan partikel "pun", iaitu:

adapun, ataupun,
andaipun, bagaimanapun,
biarpun, kalaupun,
kendatipun, lagipun,
mahupun, meskipun,
sekalipun, sungguhpun; dan
walaupun.

Ribuan terima kasih dan berbanyak-banyak terima kasih
Soalan:
Ada pengguna bahasa yang mengatakan bahawa ayat “Saya mengucapkan ribuan terima kasih” salah kerana penggunaan kata “ribuan’. Kata itu sepatutnya digantikan dengan kata “berbanyak-banyak” atau “setinggi-tinggi”. Apakah pendapat saudara tentang hal ini?

Jawapan:
Ayat yang menggunakan kata ribuan atau jutaan dalam ayat tersebut tidak salah. Hal ini demikian kerana ayat seperti itu telah digunakan sekian lama untuk menghargai seseorang atas sesuatu yang telah dilakukan. Selain itu, kata ribuan atau jutaan dalam ayat tersebut merupakan gaya bahasa hiperbola yang dibenarkan dalam bahasa Melayu.Jika kata itu digantikan dengan kata berbanyak-banyak, atau setinggi-tinggi, ayat tersebut tidak gramatis kerana kata berbanyak-banyak ialah kata kerja, manakala setinggi-tinggi ialah kata adjektif. Dengan berdasarkan rumus frasa kerja aktif transitif, kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh kata nama.


Menawar, menawari dan menawarkan

1. menawar bermaksud meminta supaya dikurangkan atau diturunkan harga sesuatu. Ayat contoh: Kalau
pandai menawar, kita akan memperoleh harga yang lebih murah.
2. menawari pula bermaksud memberikan sesuatu (pekerjaan dsb) kepada seseorang.
Ayat Contoh: Syarikat itu menawari beliau jawatan sebagai pengurus.
3. menawarkan bermaksud menunjukkan sesuatu supaya dibeli; mengunjukkan atau mengemukakan sesuatu
supaya diterima, dipakai dsb:
a. Penjaja itu menawarkan barang-barang jualannya.
b.Kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang cemerlang.
c. Syarikat itu menawarkan jawatan sebagai pengurus kepada beliau.

Menemui atau menemukan

Kita selalu mendapati bahawa pengguna bahasa menggunakan perkataan menemui dan menemukan dengan cara yang salah. Kesalahan ini sering kita lihat dalam penggunaan perkataan menemui pada tempat menemukan. Lihat ayat contoh di bawah ini:

(1) *Seorang pelajar telah menemui dompet di bawah meja itu.

Ayat (1) tersebut tidak gramatis kerana penggunaan perkataan menemui dalam ayat itu tidak tepat. Untuk menentukan ketepatan penggunaan perkataan menemui dan menemukan, marilah kita merujuk kepada Kamus Pelajar Terbitan KBSM (2000).

Perkataan menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa atau bersua dengan seseorang. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(2) Dia masih belum juga menemui orang yang dicari-carinya.

Maksud lain bagi perkataan menemui ialah pergi berjumpa dengan, menziarahi dengan atau melawati. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(3) Dia pulang ke kampung menemui kaum keluarganya.

Selain itu, maksud menemui dalam konteks menemui ajal ialah meninggal dunia.

Perkataan menemukan pula bermaksud mendapat atau mencipta sesuatu yang baharu. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(4) Pakar-pakar perubatan telah menemukan cara mengubati penyakit itu.

Selain itu, menemukan bermaksud memperoleh sesuatu yang dicari. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:

(5) Polis telah menemukan kereta yang digunakan oleh perompak itu di sebuah ladang getah.

Dengan berdasarkan makna menemukan yang dikemukakan ini, jelaslah bahawa penggunaan perkataan menemui dalam ayat (1) tadi tidak tepat. Ayat tersebut sepatutnya menggunakan perkataan menemukan.

(1) Seorang pelajar telah menemukan dompet di bawah meja itu

Tanda Nokhtah: 29 Jun 2008 atau 29 Jun 2008.?

Soalan:
Nak tanya..dalam surat rasmi, selepas tarikh, perlukah tanda nokhtah?

Jawaban:
Jika berdasarkan maklumat yang terkini, selepas tarikh, tiada tanda nokhtah. Hal ini dapat kita lihat penggunaan tarikh itu dalam surat rami yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, jika kita merujuk kepada buku-buku teks Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, tiada tanda nokhtah selepas tarikh. Namun demikian, Dr. Sulaiman Masri dalam bukunya yang bertajuk “Penulisan Melayu Baku” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka meletakkan tanda nokhtah selepas tarikh. Begitu juga halnya dengan tokoh bahasa yang tidak asing lagi di negara kita, iaitu Encik Ismail Dahaman. Beliau meletakkan tanda nokhtah selepas tarikh.

Bagi pelajar sekolah pula, saya menasihati anda semua supaya mengikut ketetapan yang telah dinyatakan oleh Lembaga Peperiksaan seperti yang dikemukakan dalam dokumen “Panduan Mengenai Format Surat Kiriman Rasmi dan Surat Kiriman Tidak Rasmi” yang dikeluarkan pada Januari 1987 berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui SURAT PEKELILING AM BIL. 8 TAHUN 1980 bertarikh 1 OKTOBER 1980. Contoh yang diberikan ialah 17 JULAI 1986.

Tegasnya, cara yang betul untuk menulis tarikh dalam surat kiriman rasmi ialah
1. Ada tanda nokhtah selepas tarikh.
2. Nama bulan ditulis dengan huruf besar, iaitu JULAI.

Namun demikian, Lembaga Peperiksaan Malaysia tidak tekal dari segi ejaan nama bulan. Dalam surat kiriman rasmi, nama bulan dalam contoh yang diberikan ditulis dengan menggunakan huruf besar, iaitu 17 JULAI 1986. Dalam surat kiriman tidak rasmi pula, ejaan nama bulan ditulis dengan huruf kecil, iaitu 5 Ogos 1986.

Berdasarkan maklumat ini, terdapat perbezaan pendapat tentang penggunaan tanda nokhtah selepas tarikh. Oleh hal yang demikian, saya ingin mengemukakan cadangan kepada pihak DBP atau Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menyeragamkan atau memantapkan aspek ini.

Bertulis tangan atau bertulisan tangan?

Soalan:
Apakah kesalahan dalam ayat ini di bawah ini cikgu?Naskah Melayu lama yang bertulisan tangan itu masih tersimpan di Arkib Negara untuk dijadikan rujukan para pengkaji.

Jawaban:
Ada dua kesalahan dalam ayat di atas. Kesalahan yang pertama ialah kesalahan ejaan. Ejaan naskah yang betul ialah naskhah. Kesalahan yang kedua ialah kesalahan imbuhan. Perkataan bertulisan sepatutnya bertulis. Berdasarkan maksud yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bertulis tangan bermaksud disurat dengan tangan.

Banyak /Ramai

Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga istilah yang sering digunakan oleh ahli bahasa seperti Corder, Jack C, Richard, Bell, dan sebagainya, iaitu kesalahan bahasa, kesilapan bahasa, dan kejahilan bahasa. Kesalahan bahasa seperti yang dikatakan oleh Dulay ialah pengguna menggunakan bahasa dengan cara yang salah, iaitu melanggar peraturan nahu atau tatabahasa. Kesalahan ini dilakukan secara tekal. Kesilapan bahasa ialah pengguna tersilap menggunakan bahasa, tetapi membetulkannya semula apabila disedari. Hal ini berlaku kerana pengguna terlupa atau tersilap. Kejahilan bahasa pula ialah pengguna mengatakan aspek bahasa yang betul sebagai salah. Hal ini berlaku kerana mereka tidak menguasai atau mengetahui peraturan tentang bahasa tersebut. Selain itu, individu tersebut berasa dirinya `pakar’ atau `serba tahu’. Hakikat yang sebenarnya ialah mereka jahil tentang tatabahasa. Hal ini berdasarkan pengalaman yang saya alami.

Sebagai contohnya, saya telah ditegur kerana membina ayat seperti yang di bawah ini:

(i) Banyak rakyat Malaysia yang mempunyai kelululusan tinggi dalam pelbagai bidang.
Yang hairannya ialah pihak yang menegur saya tentang ayat di atas itu berbalah dan berselisih pendapat
dengan rakannya yang lain. Ada yang mengatakan bahawa ayat yang sepatutnya adalah seperti yang
berikut:
(i) (a) Ramai rakyat Malaysia mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang.
(b) Sebilangan besar rakyat Malaysia mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kesimpulannya, masih banyak pengguna bahasa yang tidak mengetahui bahawa penggunaan kata ‘banyak” dan “ramai” berbeza.






Kehangatan lantana

Soalan:
Apakah maksud kehangatan lantana?

Lantana ialah nama sejenis pokok renek yang bunganya berjambak-jambak dan berwarna-warni. Kehangatan pula bermaksud keadaan yang hangat. Oleh itu, maksud kehangatan lantana ialah satu keadaan yang menimbulkan daya untuk menarik perhatian orang lain.

"Perkataan Madani maknanya apa?"

Perkataan madani bermaksud maju atau bertamadun. Kata Madani berdasarkan akar kata din seperti yang terdapat dalam perkataan Madinah dan tamadun. Oleh itu, masyarakat madani merujuk kapada masyarakat yang berilmu, yang mendorong pembangunan dan kemajuan berteraskan akhlak dan nilai etika.

Frasa Kerja Pasif Diri Ketiga / di dalam / dalam

Soalan 1:
Saya berdarmawisata Cikgu, betul tak ayat di bawah ini? "Perkara yang mereka bincangkan itu berkaitan dengan Kajian Geografi Tempatan". Frasa "mereka bincangkan" betulkah?

Ayat tersebut salah kerana frasa kerja pasif diri ketiga menggunakan rumus frasa kerja pasif diri pertama. Frasa kerja yang betul ialah “yang dibincangkan oleh mereka.”.

Soalan 2:
Saya berdarmawisata Cikgu, "di dalam hati" betul atau "dalam hati"? dan "di dalam fikiran" atau " dalam fikiran"? bagaimanakah cara untuk mengenal pastinya?

Frasa sendi nama yang betul ialah “di dalam hati”. Hal ini demikian kerana “hati” terletak di dalam tubuh kita (ruang).
Frasa sendi nama “dalam fikiran” digunakan kerana fikiran bersifat abstrak yang tidak mempunyai ruang yang bersifat konkrit.

Frasa Adjektif "Terkenal sekali"

Dalam perkataan `terkenal', awalan `ter-' tersebut tidak membawa maksud `paling'. Lihat frasa tersebut yang di bawah ini:
tercantik sekali ----> paling cantik sekali ---(salah.. kerana awalan `ter- membawa maksud `paling'.
terkenal sekali -----> paling kenal sekali ----(betul kerana awalan `ter'- tidak membawa maksud `paling'.

Selain itu, perkataan `terkenal' boleh digantikan dengan perkataan `masyhur' atau `popular'. Lihat frasa yang di bawah ini:
1. terkenal sekali
2. masyhur sekali
3. popular sekali

Kesimpulannya ialah `frasa terkenal sekali' bertul kerana frasa tersebut bermaksud `popular sekali' atau `masyhur sekali'.





Frasa adjektif "..begitu amat cantik.."
Soalan:
Nak tanya.. betul x ayat ini:
1. lukisan ini begitu amat cantik.
Tolong terangkan.. begitu amat boleh x dgunakan dalam satu ayat?..

Jawaban:
Anda tidak perlu menulis ayat tersebut seperti itu. Pilihlah salah satu ayat yang berikut:
1(a) Lukisan ini amat sangat cantik.
1(b) Lukisan ini begitu cantik.
1(c) Lukisan ini terlalu cantik
Hal ini demikian kerana `begitu’ bermaksud `amat sangat’ atau `terlalu’

Baharu dan baru
Soalan:
Selamat pagi Cikgu,
Baru bererti "just", manakala baharu bererti "new". Betul tak?

Jawaban:
Betullllllllllllllllllll

Belakangan ini atau kebelakangan ini
Yang manakah yang betul, "Sejak belakangan ini" atau "Belakangan ini" seperti ayat yang di bawah ini:
*1. Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.

Jawaban:
Menurut Dewan Edisi Keempat (Hal. 151), perkataan kebelakangan atau belakangan bermaksud sejak masa-masa yang kemudian ini atau akhir-akhir ini. Oleh hal yang demikian ini, perkataan kebelakangan atau belakangan dapat bertukar ganti dengan rangkai kata sejak masa-masa yang kemudian ini atau akhir-akhir ini. Jadi, penggunaan rangkai kata *sejak kebelakangan ini atau *sejak belakangan ini dianggap lewah. Lihat rangkai kata tersebut di bawah ini apabila ditransformasikan mengikut maksud kamus:

1a. *Sejak akhir-akhir ini ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1b. *Sejak sejak masa-masa yang kemudian ini ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.

Ayat yang betul adalah seperti yang di bawah ini:
b. Kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1c. Belakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1d. Akhir-akhir ini , kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1e. Sejak masa-masa yang kemudian ini , kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di
Shah Alam.

"bangun daripada duduk" atau "bangun daripada tidur"

Saya berdarmawisata
cikgu, ayat "Adik bangun sejak pada pukul lapan pagi" betul tak?

Jawaban:
Ayat yang betul ialah “Adik telah bangun daripada tidur sejak pukul lapan pagi tadi.”
Dalam bahasa Melayu, bangun juga membawa maksud berdiri. Persoalannya ialah bangun daripada duduk atau bangun daripada tidur? Selain itu, kata sendi nama tidak boleh hadir secara berturut-turut seperti sejak pada, demi untuk, selain daripada, dan sebagainya.
Frasa SN "dalam" dengan "di dalam"
Soalan:
Cikgu, " di dalam akhbar" dan "di kaca televisyen" salah atau betul? Adakah akhbar dan televisyen dikira sebagai ruang? Tolonglah huraikan.

Jawapan:
Yang betul ialah frasa sendi nama ‘dalam akhbar’. Di kaca televisyen betul kerana televisyen merupakan tempat untuk pihak tertentu menyebarkan maklumat atau mendapatkan maklumat. Televisyen juga dijadikan sebagai tempat untuk mengiklankan barangan atau perkhidmatan selain sebagai alat.
Untuk menjawab soalan ini, kita mestilah mengetahui penggunaan kata sendi nama `di-‘.Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.Dalam hal ini, ruang merujuk kepada tempat. Sebagai contohnya, ayat “Saya berada di dalam bilik” jelas menunjukkan konsep ruang, iaitu tempat yang di kelilingi oleh dinding dan bumbung. Begitu juga halnya dengan ayat “Selat Melaka terletak di antara Pulau Sumatera dengan pantai Semenanjung Tanah Melayu. Frasa sendi nama ‘di antara’ jelas menunjukkan konsep ruang, iaitu Selat Melaka. Selat Melaka pula merupakan tempat. Ayat contoh; Kapal itu berada di Selat Melaka.(di perairan Selat Melaka).Konsep di televisyen dengan dalam akhbar berbeza. Hal ini demikian kerana televisyen bukan helaian atau buku, tetapi mempunyai ruang maya di dalamnya seperti studio, dewan persembahan, dan sebagainya.

Online-"atas talian" atau "dalam talian" atau "di talian"

1. Terjemahan 'online' - atas talian atau dalam talian?
2. Dalam Konvensyen MD yang lalu, cikgu ada mengemukakan soalan yang berkaitan dengan kesalahan
bahasa pada kulit belakang buku Tatabahasa Dewan edisi ketiga, iaitu penggunaan KKT + Objek.
Kebanyakan guru BM kat Kota Bharu yang saya temui begitu yakin bahawa Tatabahasa Dewan edisi ketiga
telah mantap dan tidak ada apa-apa kesalahan bahasa. Sekiranya tidak menjadi halangan, saya harap Cikgu
Ghalib dapat meng-e-melkan saya halaman-halaman lain yang jelas tersurat kesalahan bahasa.
3. Manakah yang betul - Guru Pembantu atau Pembantu Guru; Guru Pembimbing atau Pembimbing Guru;
Pembantu Penguat Kuasa JPJ atau Penguat Kuasa Pembantu JPJ.
4. Adakah kata bantu ragam boleh dan dapat boleh bertukar ganti?
Contoh: Saya tidak dapat/boleh mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mendapat kelulusan daripada
majikan.

Jawapan:
1. Jawapan yang diterima umum ialah rangkai kata ”dalam talian”. Sila layari
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx. Rangkai kata ”dalam talian”
bermaksud 1. Sifat peranti sokongan yang berada di bawah kawalan langsung unit pemprosesan utama. 2.
Sifat sambungan komunikasi yang sedang dalam keadaan giat dan tersambung pada sistem utama. 3.
Kebolehan pengguna berinteraksi dengan komputer secara langsung. Bandingkan luar talian.

2. Permintaan untuk soalan kedua ini akan dipertimbangkan setelah saya tamat menyemak buku itu. Oleh
sebab kekangan masa, saya masih belum dapat menyemak buku itu hingga tamat.

3. Frasa ini berkaitan dengan Hukum DM. Frasa Nama ”Guru pembantu” betul. Contoh lain ialah guru
penolong, guru penolong kanan, dan sebagainya. Pembantu guru juga betul. Contoh lain ialah pembantu
makmal, pembantu penyelidik, dan sebagainya. Guru pembimbing (Guru sebagai pembimbing, iaitu guru
yang ditugaskan untuk membimbing guru yang lain) betul. Contoh lain ialah guru pelatih (guru yang
sedang dilatih), pelakon pembantu (pelakon sampingan), dan sebagainya. Pembimbing guru juga betul.
Pembimbing guru ialah orang yang tugasnya membimbing guru. Pembantu Penguat Kuasa betul. Frasa ini
ialah nama jawatan seperti Timbalan Presiden (Bukan Presiden Timbalan), Naib Presiden, Naib Canselor
(bukan canselor naib) yang dikecualikan daripada Hukum DM. Persoalannya ialah adakah nama jawatan
“Penguat kuasa Pembantu di JPJ?

4. Kata bantu ragam boleh dan dapat berilainan makna atau fungsi. Kata bantu ”Boleh” membawa maksud
keizinan, manakala kata bantu dapat membawa maksud keupayaan. Lihat ayat tersebut seperti yang di
bawah ini:

a. Saya tidak boleh mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mendapat kelulusan daripada majikan.
(Keizinan)
b. Saya tidak dapat mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mempunyai wang yang cukup. (keupayaan)

Kaji selidik dan uji kaji
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang perbezaan antara kaji selidik dengan uji kaji. Saya berharap agar cikgu dapat menjawabnya. Terima kasih.

Jawaban:
Uji kaji ialah ujian atau penyelidikan yang dijalankan untuk mengetahui atau memastikan sesuatu percubaan, eksperimen.

Ayat contoh:
Dr.Sheikh Muszafar akan menjalankan uji kaji tentang mikrob di angkasa.

Kaji selidik jarang-jarang digunakan. Yang ada ialah kaji bumi (ilmu tentang bumi), kaji bintang (ilmu tentang angkasa), kaji cuaca (ilmu tentang pergerakan dan perubahan udara terutama untuk meramalkan cuaca), kaji daya (a. ilmu tentang pergerakan dan tindakan daya pada benda-benda. b. ilmu tentang jentera), kaji daya kuasa ( ilmu tentang jentera (mesin) yang mengeluarkan daya sawat), Kaji haiwan ( ilmu tentang binatang atau haiwan dan kehidupannya), Kaji hayat ( ilmu tentang hidup-hidupan (tumbuh-tumbuhan dan haiwan), kaji kuman (ilmu tentang kuman dan hubungannya dengan perubatan, industri dan pertanian). kaji penyakit (ilmu tentang jenis, akibat dan sebab berlakunya penyakit). Kaji teknik ialah ilmu tentang pengetahuan industri.

Soal selidik ialah sejumlah soalan yang dikemukakan secara tersusun dalam borang tertentu untuk dijawab oleh sebilangan orang dalam usaha mencari dan mengumpulkan maklumat tertentu.

Ayat contoh:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang akan mengadakan soal selidik tentang kesan kenaikan harga kepada pengguna.

damba, mendambakan, dan perdambaan

1. Damba bermaksud terlalu ingin (hendak, mahu) akan sesuatu.
Ayat contoh:
Pada masa ini, wanita Malaysia damba akan hak yang sama dengan kaum lelaki.

2. Mendambakan pula bermaksud terlalu inginkan (hendakkan, mahukan) sesuatu:
Ayat contoh:
Pasangan itu mendambakan kehidupan yang bahagia dan penuh dengan kasih sayang.

3. Perdambaan pula bermaksud sesuatu yang diinginkan (keinginan) atau dimahukan (kemahuan).
Ayat contoh:
Apabila ketamakan melibatkan perdambaan terhadap sifat-sifat orang lain, istilah rasa iri hati digunakan.

Saturday, May 1, 2010

Karangan Berpandu

Lihat gambar di bawah dengan teliti, seorang petani sedang mengerjakan tanamannya secara kecil-kecilan. Oleh sebab itu, huraikan cara-cara untuk meningkatkan pendapatan petani di negara kita. Huraian anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.



















Gambar di bawah menunjukkan negarawan yang terbilang dari dahulu hingga sekarang. Huraikan cara-cara menghargai jasa tokoh negarawan. Karangan anda hendaklah kurang daripada 120 patah kata.






BAHAN MAKLUMAT - Konsep 1 Malaysia ( Penjelasan Mengenai Lapan Nilai)
‘1 MALAYSIA’
(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)
1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.
2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti
7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.


Sumber:
1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.