CONTOH FRASA-FRASA MENARIK UNTUK PENULISAN
• Menggembleng tenaga - menjadi barah masyarakat
• Beriltizam (komited) - mengimbau kenangan
• Memacu / menjana kemajuan negara - di sungai cabaran
• Masalah semakin kritikal - tiba di muara pencipta
• Fenomena yang berlaku - gerimis menabur benih
• Di persada dunia - lemas dalam kesabaran
• Menyumbangkan dana - menghakis sopan santun
• Citra masyarakat (imej / jati diri ) - fitrah sang manusia
• Generasi pewaris bangsa - gelanggang kebuasan
• Anjakan paradigma - mutu memantulkan peribadi
• Lonjakan saujana - prasarana maklumat
• Proses globalisasi - bercirikan tempatan
• Dunia tanpa sempadan - menjadi nadi penggerak
• Memperkembang potensi diri - menjadi fokus perjuangan
• Berdaya saing - kemelut peperangan
• Berfungsi secara optimum - meluangkan masa senggang
• Kedengaran suara-suara sumbang - atlet tidak konsisten
• Memperkasa jati diri - lokasi yang strategik
• Menyelami jiwa dan cita rasa - mempopularkan konsep
• Lebih berketerampilan (cekap) - mencerna idea
• Penampilan diri yang positif - bibit-bibit perpecahan
• Cara berpakaian - menjadi petanda negatif
• Dicelikkan oleh fakta sejarah - generasi pasca merdeka
• Mengetepikan soal bangsa - memantapkan gelora politik
• Merealisasikan impian - diurus secara telus
• Menangani masalah - menawarkan aplikasi
• Berada dalam cengkaman - pertalian dapat dirungkai
• Pemangkin kecemerlangan - budaya hedonisme
• Menjadi polemik dalam masyarakat - konteks yang lebih luas
• Polarisasi kaum - bertopengkan hak asasi
• Tahap profesionalisme - peruntukan yang digariskan
• Menggoncang semangat - mengakses penemuan baru
• Inspirasi dicetuskan oleh
• Menentukan hala tuju
• Ditelan arus kehidupan
• Realiti alam kehidupan
• Interaksi sosial
• Terbelenggu dalam perasaan
• Digunakan secara semberono
• Terpahat nama negara
• Memperlekeh hasrat murni
• Dasar yang proaktif KAY 2008
TATABAHASA
GOLONGAN KATA
Nyatakan jenis kata di bawah ini:
1. ialah =______________________
2. Si Belang= __________________
3. boleh = ____________________
4. SMK Seksyen 3= _____________
5. daripada = ____________
6. Kuala Lumpur = _______________
7. bahawa = ______________
8. Peguam = _________________
9. lagi = ______________
10. Seladang= ______________
11. setengah= ________________
12. angin = ________________
13. sangat = ______________
14. danau = __________________
15. sesungguhnya = _________________
16. Kami = _________________
17. lajunya = _________________
18. anda = _________________
19. hatta = _________________
20. baginda = _________________
21. telah = _______________
22. bila = _________________
23. deras-deras= _____________
24. situ = _______________
25. beli = _______________
26. sini = ____________________
27. dihadiri= _____________________
28.apa-apa = ___________________
29. bernyanyi= ______________
30. suka = ________________
Terguris atau tergores?
Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan kata guris, terguris, atau mengguris. Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Perkataan yang tepat ialah gores, tergores atau menggores. Jika pengguna bahasa masih ragu-ragu, sila rujuki Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 482 . Dalam kamus tersebut, tiada perkataan guris disenaraikan sebagai entri. Kata yang disenaraikan ialah gores. Yang peliknya ialah pengguna bahasa lebih suka menggunakan kata yang salah daripada yang tepat dan betul. Mengapakah hal ini terjadi? Tepuk dada tanyalah selera. Sebagai pengguna bahasa, kita mestilah memprakrikkan penggunaan bahasa yang tepat dalan betul.
Kering kontang atau kering-kontang?
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kering-kontang dieja dengan dua cara, iaitu ada tanda sempang dan tiada tanda sempang. Dengan berdasarkan kata masukan kering, terdapat perkataan kering-kontang yang disenaraikan. Maksud perkataan ituialah tidak berair atau sudah tidak berair lagi. Jika kita melihat kata masukan kontang pula, makna yang diberikan ialah tidak berair atau kering. Dalam kata masukan ini, diberikan perkataan kering kontang (tanpa tanda sempang). Maksudnya ialah sedikit pun tidak berair atau kering sekali. Persoalan yang hendak saya timbulkan di sini ialah adakah kata kering-kontang atau kering kontang tersebut kata ganda atau rangkai kata? Prinsip untuk menentukan sesuatu perkataan itu kata ganda atau bukan ialah perkataan kedua tidak boleh berdiri sendiri atau tiada makna. Namun, perkataan kering dan kontang dalam kata ganda kering-kontang mempunyai makna yang tersendiri dan kedua-dua perkataan itu mempunyai kata masukan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu, apakah ejaan yang tepat bagi perkataan kering-kontang? Kering-kontang atau kering kontang?
Penggunaan Kata Ganti Nama `anda'
Jangan menggunakan kata ganti nama `anda' kepada seseorang yang kita kenali atau orang yang berada di hadapan kita. Kata ganti nama ini sesuai untuk khalayak umum atau pihak yang tidak kita ketahui. Biasanya, perkataan ini digunakan di televisyen, radio, iklan, pengumuman dan sebagainya.
Contoh:
Anda dari mana tadi? [ x ]
Kamu dari mana tadi [ / ]
Saudara dari mana tadi? [ / ]
Encik dari mana tadi? [ / ]
Ketika, semasa, masa
Ketika bermaksud masa (bukan semasa) atau waktu yang singkat.
Semasa bermaksud sama masa dengan atau pada ketika yang sama.
Semasa juga bermaksud sewaktu atau pada ketika.
Kesimpulannya, ketika dan semasa ada perbezaan makna atau tidak sama makna.
Contoh:
Saya telah ke luar negara ketika masih kecil.
Saya telah ke luar negara masa masih kecil.
Semasa ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.
Pada ketika ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.
Jawapan atau Jawaban?
Soalan:
Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak Tuan tentang hal ini.?
Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.
Partikel `Pun' dalam Bahasa Melayu
Terdapat 13 perkataan yang dieja bercantum dengan partikel "pun", iaitu:
adapun, ataupun,
andaipun, bagaimanapun,
biarpun, kalaupun,
kendatipun, lagipun,
mahupun, meskipun,
sekalipun, sungguhpun; dan
walaupun.
Ribuan terima kasih dan berbanyak-banyak terima kasih
Soalan:
Ada pengguna bahasa yang mengatakan bahawa ayat “Saya mengucapkan ribuan terima kasih” salah kerana penggunaan kata “ribuan’. Kata itu sepatutnya digantikan dengan kata “berbanyak-banyak” atau “setinggi-tinggi”. Apakah pendapat saudara tentang hal ini?
Jawapan:
Ayat yang menggunakan kata ribuan atau jutaan dalam ayat tersebut tidak salah. Hal ini demikian kerana ayat seperti itu telah digunakan sekian lama untuk menghargai seseorang atas sesuatu yang telah dilakukan. Selain itu, kata ribuan atau jutaan dalam ayat tersebut merupakan gaya bahasa hiperbola yang dibenarkan dalam bahasa Melayu.Jika kata itu digantikan dengan kata berbanyak-banyak, atau setinggi-tinggi, ayat tersebut tidak gramatis kerana kata berbanyak-banyak ialah kata kerja, manakala setinggi-tinggi ialah kata adjektif. Dengan berdasarkan rumus frasa kerja aktif transitif, kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh kata nama.
Menawar, menawari dan menawarkan
1. menawar bermaksud meminta supaya dikurangkan atau diturunkan harga sesuatu. Ayat contoh: Kalau
pandai menawar, kita akan memperoleh harga yang lebih murah.
2. menawari pula bermaksud memberikan sesuatu (pekerjaan dsb) kepada seseorang.
Ayat Contoh: Syarikat itu menawari beliau jawatan sebagai pengurus.
3. menawarkan bermaksud menunjukkan sesuatu supaya dibeli; mengunjukkan atau mengemukakan sesuatu
supaya diterima, dipakai dsb:
a. Penjaja itu menawarkan barang-barang jualannya.
b.Kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar yang cemerlang.
c. Syarikat itu menawarkan jawatan sebagai pengurus kepada beliau.
Menemui atau menemukan
Kita selalu mendapati bahawa pengguna bahasa menggunakan perkataan menemui dan menemukan dengan cara yang salah. Kesalahan ini sering kita lihat dalam penggunaan perkataan menemui pada tempat menemukan. Lihat ayat contoh di bawah ini:
(1) *Seorang pelajar telah menemui dompet di bawah meja itu.
Ayat (1) tersebut tidak gramatis kerana penggunaan perkataan menemui dalam ayat itu tidak tepat. Untuk menentukan ketepatan penggunaan perkataan menemui dan menemukan, marilah kita merujuk kepada Kamus Pelajar Terbitan KBSM (2000).
Perkataan menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa atau bersua dengan seseorang. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
(2) Dia masih belum juga menemui orang yang dicari-carinya.
Maksud lain bagi perkataan menemui ialah pergi berjumpa dengan, menziarahi dengan atau melawati. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
(3) Dia pulang ke kampung menemui kaum keluarganya.
Selain itu, maksud menemui dalam konteks menemui ajal ialah meninggal dunia.
Perkataan menemukan pula bermaksud mendapat atau mencipta sesuatu yang baharu. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
(4) Pakar-pakar perubatan telah menemukan cara mengubati penyakit itu.
Selain itu, menemukan bermaksud memperoleh sesuatu yang dicari. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
(5) Polis telah menemukan kereta yang digunakan oleh perompak itu di sebuah ladang getah.
Dengan berdasarkan makna menemukan yang dikemukakan ini, jelaslah bahawa penggunaan perkataan menemui dalam ayat (1) tadi tidak tepat. Ayat tersebut sepatutnya menggunakan perkataan menemukan.
(1) Seorang pelajar telah menemukan dompet di bawah meja itu
Tanda Nokhtah: 29 Jun 2008 atau 29 Jun 2008.?
Soalan:
Nak tanya..dalam surat rasmi, selepas tarikh, perlukah tanda nokhtah?
Jawaban:
Jika berdasarkan maklumat yang terkini, selepas tarikh, tiada tanda nokhtah. Hal ini dapat kita lihat penggunaan tarikh itu dalam surat rami yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, jika kita merujuk kepada buku-buku teks Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, tiada tanda nokhtah selepas tarikh. Namun demikian, Dr. Sulaiman Masri dalam bukunya yang bertajuk “Penulisan Melayu Baku” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka meletakkan tanda nokhtah selepas tarikh. Begitu juga halnya dengan tokoh bahasa yang tidak asing lagi di negara kita, iaitu Encik Ismail Dahaman. Beliau meletakkan tanda nokhtah selepas tarikh.
Bagi pelajar sekolah pula, saya menasihati anda semua supaya mengikut ketetapan yang telah dinyatakan oleh Lembaga Peperiksaan seperti yang dikemukakan dalam dokumen “Panduan Mengenai Format Surat Kiriman Rasmi dan Surat Kiriman Tidak Rasmi” yang dikeluarkan pada Januari 1987 berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui SURAT PEKELILING AM BIL. 8 TAHUN 1980 bertarikh 1 OKTOBER 1980. Contoh yang diberikan ialah 17 JULAI 1986.
Tegasnya, cara yang betul untuk menulis tarikh dalam surat kiriman rasmi ialah
1. Ada tanda nokhtah selepas tarikh.
2. Nama bulan ditulis dengan huruf besar, iaitu JULAI.
Namun demikian, Lembaga Peperiksaan Malaysia tidak tekal dari segi ejaan nama bulan. Dalam surat kiriman rasmi, nama bulan dalam contoh yang diberikan ditulis dengan menggunakan huruf besar, iaitu 17 JULAI 1986. Dalam surat kiriman tidak rasmi pula, ejaan nama bulan ditulis dengan huruf kecil, iaitu 5 Ogos 1986.
Berdasarkan maklumat ini, terdapat perbezaan pendapat tentang penggunaan tanda nokhtah selepas tarikh. Oleh hal yang demikian, saya ingin mengemukakan cadangan kepada pihak DBP atau Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menyeragamkan atau memantapkan aspek ini.
Bertulis tangan atau bertulisan tangan?
Soalan:
Apakah kesalahan dalam ayat ini di bawah ini cikgu?Naskah Melayu lama yang bertulisan tangan itu masih tersimpan di Arkib Negara untuk dijadikan rujukan para pengkaji.
Jawaban:
Ada dua kesalahan dalam ayat di atas. Kesalahan yang pertama ialah kesalahan ejaan. Ejaan naskah yang betul ialah naskhah. Kesalahan yang kedua ialah kesalahan imbuhan. Perkataan bertulisan sepatutnya bertulis. Berdasarkan maksud yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bertulis tangan bermaksud disurat dengan tangan.
Banyak /Ramai
Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga istilah yang sering digunakan oleh ahli bahasa seperti Corder, Jack C, Richard, Bell, dan sebagainya, iaitu kesalahan bahasa, kesilapan bahasa, dan kejahilan bahasa. Kesalahan bahasa seperti yang dikatakan oleh Dulay ialah pengguna menggunakan bahasa dengan cara yang salah, iaitu melanggar peraturan nahu atau tatabahasa. Kesalahan ini dilakukan secara tekal. Kesilapan bahasa ialah pengguna tersilap menggunakan bahasa, tetapi membetulkannya semula apabila disedari. Hal ini berlaku kerana pengguna terlupa atau tersilap. Kejahilan bahasa pula ialah pengguna mengatakan aspek bahasa yang betul sebagai salah. Hal ini berlaku kerana mereka tidak menguasai atau mengetahui peraturan tentang bahasa tersebut. Selain itu, individu tersebut berasa dirinya `pakar’ atau `serba tahu’. Hakikat yang sebenarnya ialah mereka jahil tentang tatabahasa. Hal ini berdasarkan pengalaman yang saya alami.
Sebagai contohnya, saya telah ditegur kerana membina ayat seperti yang di bawah ini:
(i) Banyak rakyat Malaysia yang mempunyai kelululusan tinggi dalam pelbagai bidang.
Yang hairannya ialah pihak yang menegur saya tentang ayat di atas itu berbalah dan berselisih pendapat
dengan rakannya yang lain. Ada yang mengatakan bahawa ayat yang sepatutnya adalah seperti yang
berikut:
(i) (a) Ramai rakyat Malaysia mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang.
(b) Sebilangan besar rakyat Malaysia mempunyai kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang.
Kesimpulannya, masih banyak pengguna bahasa yang tidak mengetahui bahawa penggunaan kata ‘banyak” dan “ramai” berbeza.
Kehangatan lantana
Soalan:
Apakah maksud kehangatan lantana?
Lantana ialah nama sejenis pokok renek yang bunganya berjambak-jambak dan berwarna-warni. Kehangatan pula bermaksud keadaan yang hangat. Oleh itu, maksud kehangatan lantana ialah satu keadaan yang menimbulkan daya untuk menarik perhatian orang lain.
"Perkataan Madani maknanya apa?"
Perkataan madani bermaksud maju atau bertamadun. Kata Madani berdasarkan akar kata din seperti yang terdapat dalam perkataan Madinah dan tamadun. Oleh itu, masyarakat madani merujuk kapada masyarakat yang berilmu, yang mendorong pembangunan dan kemajuan berteraskan akhlak dan nilai etika.
Frasa Kerja Pasif Diri Ketiga / di dalam / dalam
Soalan 1:
Saya berdarmawisata Cikgu, betul tak ayat di bawah ini? "Perkara yang mereka bincangkan itu berkaitan dengan Kajian Geografi Tempatan". Frasa "mereka bincangkan" betulkah?
Ayat tersebut salah kerana frasa kerja pasif diri ketiga menggunakan rumus frasa kerja pasif diri pertama. Frasa kerja yang betul ialah “yang dibincangkan oleh mereka.”.
Soalan 2:
Saya berdarmawisata Cikgu, "di dalam hati" betul atau "dalam hati"? dan "di dalam fikiran" atau " dalam fikiran"? bagaimanakah cara untuk mengenal pastinya?
Frasa sendi nama yang betul ialah “di dalam hati”. Hal ini demikian kerana “hati” terletak di dalam tubuh kita (ruang).
Frasa sendi nama “dalam fikiran” digunakan kerana fikiran bersifat abstrak yang tidak mempunyai ruang yang bersifat konkrit.
Frasa Adjektif "Terkenal sekali"
Dalam perkataan `terkenal', awalan `ter-' tersebut tidak membawa maksud `paling'. Lihat frasa tersebut yang di bawah ini:
tercantik sekali ----> paling cantik sekali ---(salah.. kerana awalan `ter- membawa maksud `paling'.
terkenal sekali -----> paling kenal sekali ----(betul kerana awalan `ter'- tidak membawa maksud `paling'.
Selain itu, perkataan `terkenal' boleh digantikan dengan perkataan `masyhur' atau `popular'. Lihat frasa yang di bawah ini:
1. terkenal sekali
2. masyhur sekali
3. popular sekali
Kesimpulannya ialah `frasa terkenal sekali' bertul kerana frasa tersebut bermaksud `popular sekali' atau `masyhur sekali'.
Frasa adjektif "..begitu amat cantik.."
Soalan:
Nak tanya.. betul x ayat ini:
1. lukisan ini begitu amat cantik.
Tolong terangkan.. begitu amat boleh x dgunakan dalam satu ayat?..
Jawaban:
Anda tidak perlu menulis ayat tersebut seperti itu. Pilihlah salah satu ayat yang berikut:
1(a) Lukisan ini amat sangat cantik.
1(b) Lukisan ini begitu cantik.
1(c) Lukisan ini terlalu cantik
Hal ini demikian kerana `begitu’ bermaksud `amat sangat’ atau `terlalu’
Baharu dan baru
Soalan:
Selamat pagi Cikgu,
Baru bererti "just", manakala baharu bererti "new". Betul tak?
Jawaban:
Betullllllllllllllllllll
Belakangan ini atau kebelakangan ini
Yang manakah yang betul, "Sejak belakangan ini" atau "Belakangan ini" seperti ayat yang di bawah ini:
*1. Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
Jawaban:
Menurut Dewan Edisi Keempat (Hal. 151), perkataan kebelakangan atau belakangan bermaksud sejak masa-masa yang kemudian ini atau akhir-akhir ini. Oleh hal yang demikian ini, perkataan kebelakangan atau belakangan dapat bertukar ganti dengan rangkai kata sejak masa-masa yang kemudian ini atau akhir-akhir ini. Jadi, penggunaan rangkai kata *sejak kebelakangan ini atau *sejak belakangan ini dianggap lewah. Lihat rangkai kata tersebut di bawah ini apabila ditransformasikan mengikut maksud kamus:
1a. *Sejak akhir-akhir ini ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1b. *Sejak sejak masa-masa yang kemudian ini ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
Ayat yang betul adalah seperti yang di bawah ini:
b. Kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1c. Belakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1d. Akhir-akhir ini , kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di Shah Alam.
1e. Sejak masa-masa yang kemudian ini , kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan di
Shah Alam.
"bangun daripada duduk" atau "bangun daripada tidur"
Saya berdarmawisata
cikgu, ayat "Adik bangun sejak pada pukul lapan pagi" betul tak?
Jawaban:
Ayat yang betul ialah “Adik telah bangun daripada tidur sejak pukul lapan pagi tadi.”
Dalam bahasa Melayu, bangun juga membawa maksud berdiri. Persoalannya ialah bangun daripada duduk atau bangun daripada tidur? Selain itu, kata sendi nama tidak boleh hadir secara berturut-turut seperti sejak pada, demi untuk, selain daripada, dan sebagainya.
Frasa SN "dalam" dengan "di dalam"
Soalan:
Cikgu, " di dalam akhbar" dan "di kaca televisyen" salah atau betul? Adakah akhbar dan televisyen dikira sebagai ruang? Tolonglah huraikan.
Jawapan:
Yang betul ialah frasa sendi nama ‘dalam akhbar’. Di kaca televisyen betul kerana televisyen merupakan tempat untuk pihak tertentu menyebarkan maklumat atau mendapatkan maklumat. Televisyen juga dijadikan sebagai tempat untuk mengiklankan barangan atau perkhidmatan selain sebagai alat.
Untuk menjawab soalan ini, kita mestilah mengetahui penggunaan kata sendi nama `di-‘.Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.Dalam hal ini, ruang merujuk kepada tempat. Sebagai contohnya, ayat “Saya berada di dalam bilik” jelas menunjukkan konsep ruang, iaitu tempat yang di kelilingi oleh dinding dan bumbung. Begitu juga halnya dengan ayat “Selat Melaka terletak di antara Pulau Sumatera dengan pantai Semenanjung Tanah Melayu. Frasa sendi nama ‘di antara’ jelas menunjukkan konsep ruang, iaitu Selat Melaka. Selat Melaka pula merupakan tempat. Ayat contoh; Kapal itu berada di Selat Melaka.(di perairan Selat Melaka).Konsep di televisyen dengan dalam akhbar berbeza. Hal ini demikian kerana televisyen bukan helaian atau buku, tetapi mempunyai ruang maya di dalamnya seperti studio, dewan persembahan, dan sebagainya.
Online-"atas talian" atau "dalam talian" atau "di talian"
1. Terjemahan 'online' - atas talian atau dalam talian?
2. Dalam Konvensyen MD yang lalu, cikgu ada mengemukakan soalan yang berkaitan dengan kesalahan
bahasa pada kulit belakang buku Tatabahasa Dewan edisi ketiga, iaitu penggunaan KKT + Objek.
Kebanyakan guru BM kat Kota Bharu yang saya temui begitu yakin bahawa Tatabahasa Dewan edisi ketiga
telah mantap dan tidak ada apa-apa kesalahan bahasa. Sekiranya tidak menjadi halangan, saya harap Cikgu
Ghalib dapat meng-e-melkan saya halaman-halaman lain yang jelas tersurat kesalahan bahasa.
3. Manakah yang betul - Guru Pembantu atau Pembantu Guru; Guru Pembimbing atau Pembimbing Guru;
Pembantu Penguat Kuasa JPJ atau Penguat Kuasa Pembantu JPJ.
4. Adakah kata bantu ragam boleh dan dapat boleh bertukar ganti?
Contoh: Saya tidak dapat/boleh mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mendapat kelulusan daripada
majikan.
Jawapan:
1. Jawapan yang diterima umum ialah rangkai kata ”dalam talian”. Sila layari
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx. Rangkai kata ”dalam talian”
bermaksud 1. Sifat peranti sokongan yang berada di bawah kawalan langsung unit pemprosesan utama. 2.
Sifat sambungan komunikasi yang sedang dalam keadaan giat dan tersambung pada sistem utama. 3.
Kebolehan pengguna berinteraksi dengan komputer secara langsung. Bandingkan luar talian.
2. Permintaan untuk soalan kedua ini akan dipertimbangkan setelah saya tamat menyemak buku itu. Oleh
sebab kekangan masa, saya masih belum dapat menyemak buku itu hingga tamat.
3. Frasa ini berkaitan dengan Hukum DM. Frasa Nama ”Guru pembantu” betul. Contoh lain ialah guru
penolong, guru penolong kanan, dan sebagainya. Pembantu guru juga betul. Contoh lain ialah pembantu
makmal, pembantu penyelidik, dan sebagainya. Guru pembimbing (Guru sebagai pembimbing, iaitu guru
yang ditugaskan untuk membimbing guru yang lain) betul. Contoh lain ialah guru pelatih (guru yang
sedang dilatih), pelakon pembantu (pelakon sampingan), dan sebagainya. Pembimbing guru juga betul.
Pembimbing guru ialah orang yang tugasnya membimbing guru. Pembantu Penguat Kuasa betul. Frasa ini
ialah nama jawatan seperti Timbalan Presiden (Bukan Presiden Timbalan), Naib Presiden, Naib Canselor
(bukan canselor naib) yang dikecualikan daripada Hukum DM. Persoalannya ialah adakah nama jawatan
“Penguat kuasa Pembantu di JPJ?
4. Kata bantu ragam boleh dan dapat berilainan makna atau fungsi. Kata bantu ”Boleh” membawa maksud
keizinan, manakala kata bantu dapat membawa maksud keupayaan. Lihat ayat tersebut seperti yang di
bawah ini:
a. Saya tidak boleh mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mendapat kelulusan daripada majikan.
(Keizinan)
b. Saya tidak dapat mengikuti lawatan ke Melaka kerana tidak mempunyai wang yang cukup. (keupayaan)
Kaji selidik dan uji kaji
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang perbezaan antara kaji selidik dengan uji kaji. Saya berharap agar cikgu dapat menjawabnya. Terima kasih.
Jawaban:
Uji kaji ialah ujian atau penyelidikan yang dijalankan untuk mengetahui atau memastikan sesuatu percubaan, eksperimen.
Ayat contoh:
Dr.Sheikh Muszafar akan menjalankan uji kaji tentang mikrob di angkasa.
Kaji selidik jarang-jarang digunakan. Yang ada ialah kaji bumi (ilmu tentang bumi), kaji bintang (ilmu tentang angkasa), kaji cuaca (ilmu tentang pergerakan dan perubahan udara terutama untuk meramalkan cuaca), kaji daya (a. ilmu tentang pergerakan dan tindakan daya pada benda-benda. b. ilmu tentang jentera), kaji daya kuasa ( ilmu tentang jentera (mesin) yang mengeluarkan daya sawat), Kaji haiwan ( ilmu tentang binatang atau haiwan dan kehidupannya), Kaji hayat ( ilmu tentang hidup-hidupan (tumbuh-tumbuhan dan haiwan), kaji kuman (ilmu tentang kuman dan hubungannya dengan perubatan, industri dan pertanian). kaji penyakit (ilmu tentang jenis, akibat dan sebab berlakunya penyakit). Kaji teknik ialah ilmu tentang pengetahuan industri.
Soal selidik ialah sejumlah soalan yang dikemukakan secara tersusun dalam borang tertentu untuk dijawab oleh sebilangan orang dalam usaha mencari dan mengumpulkan maklumat tertentu.
Ayat contoh:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang akan mengadakan soal selidik tentang kesan kenaikan harga kepada pengguna.
damba, mendambakan, dan perdambaan
1. Damba bermaksud terlalu ingin (hendak, mahu) akan sesuatu.
Ayat contoh:
Pada masa ini, wanita Malaysia damba akan hak yang sama dengan kaum lelaki.
2. Mendambakan pula bermaksud terlalu inginkan (hendakkan, mahukan) sesuatu:
Ayat contoh:
Pasangan itu mendambakan kehidupan yang bahagia dan penuh dengan kasih sayang.
3. Perdambaan pula bermaksud sesuatu yang diinginkan (keinginan) atau dimahukan (kemahuan).
Ayat contoh:
Apabila ketamakan melibatkan perdambaan terhadap sifat-sifat orang lain, istilah rasa iri hati digunakan.
No comments:
Post a Comment